Halaman

Jumaat, 1 Januari 2010

Kota Bharu 4G Motor Club



KOTA BHARU- Setelah hampir lima tahun terlibat dalam bidang sukan permotoran, Kota Bharu 4G Motor Club atau lebih dikenali sebagai KB4G telah dikenali ramai malah kelab itu merupakan antara kelab yang aktif bergiat dalam bidang sukan tersebut di sini.

Di awal penubuhan, kelab ini hanya terdiri daripada tiga orang pemuda yang berasal daripada Kota Bharu.

Mereka bertiga mula menubuhkan kelab KB4G sekitar awal Mei 2005 dan sehingga kini kelab ini semakin berkembang dengan penyertaan daripada 45 orang ahli daripada seluruh Kelantan.

Presiden KB4G, Mohd Erwan Shah berkata, pada mulanya mereka sedang duduk minum-minum di sebuah kedai kopi dan kemudiannya timbul idea untuk menubuhkan kelab ini ekoran minat yang turut dikongsi bersama.

“Saya tak sangka kelab yang pada mulanya hanya ditubuhkan sekadar suka-suka kini semakin berkembang dan setiap tahun bilangan ahli semakin bertambah.

“Ahli kelab kami kebanyakannya terdiri daripada pemilik kereta jenis Proton Wira dan Mitsubishi Evolution,” katanya.

Selain menyertai kejohanan sukan permotoran yang dianjurkan sekitar Kelantan, kelab ini turut menyertai beberapa kejohanan yang dianjurkan oleh Sepang Circuit dan kejohanan di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti yang pernah diadakan oleh kelab ini ialah konvoi dan mereka turut menyertai pameran permotoran serta menganjurkan perlumbaan Drag dengan kerjasama dari pihak-pihak yang berkaitan.

“Sebelum ini kami pernah berkonvoi kereta dari Kelantan ke Cameron Highland,Tambun, Perak dan ke Genting Highland. Selalunya jika kami mengadakan aktiviti seperti ini kesemua ahli kelab akan mengambil bahagian.

“Melalui penubuhan kelab seperti ini secara tak langsung kami boleh menarik minat golongan belia masa kini agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang sering kali dikaitkan dengan remaja masa kini,” katanya.

Akan datang kelab ini akan berkonvoi ke Gambang Water Park pada bulan Mac tahun ini selain sedang dalam perancangan untuk mengadakan aktiviti driff dan pameran permotoran di sini.

1 ulasan: